Tuesday 26 August 2014

LATAR BELAKANG




Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sri Aman Saratok (SMKASAS) terletak lebih kurang 3KM dari pekan Saratok. SMKASAS merupakan satu-satunya Sekolah Agama yang terletak di Bahagian Betong, Sarawak. SMKASAS mula beroperasi pada 11 Disember 2002.
Pada mula beroperasi, SMK ASAS menerima 11 orang guru dan dibantu oleh 9 orang kakitangan sokongan. Ambilan pertama pelajar Tingkatan 1 seramai 163 orang pelajar sahaja. Kebanyakan pelajar yang terpilih memasuki SMKASAS terdiri daripada pelajar di sekitar daerah Saratok, Saribas, Pusa dan segelintir dari Bahagian Sri Aman dan Sarikei. Mereka memulakan lembaran baru sebagai pelajar SMKASAS pada 1 Januari 2003.
Pentadbiran awal sekolah diuruskan oleh Penolong Kanan 1, Ustazah Affida Helmi dan dibantu oleh Encik Merni bin Bujang selaku Penolong Kanan HEM. SMKASAS menerima Pengetua Pertama iaitu Ustazah Sa’adah bt Othman pada 7 Jun 2003. Beliau berkhidmat di sekolah ini sehingga 31 Oktober 2005.
Mulai 1 November 2005 urusan sekolah dijalankan oleh Penolong Kanan 1 sehingga kedatangan Pengetua Kedua pada 15 Februari 2006 iaitu Tuan Haji Ariffin bin Omar. Perkhidmatan Tuan Haji Ariffin bin Omar di SMKASAS berakhir pada 2008. Pada 2008 SMKASAS menerima pengetua baharu iaitu Tuan Haji Mahusain bin Haji Ismail.

Pada 27 Januari sekali lagi pentadbiran sekolah bertukar Pengetua baru iaitu Ustazah Seraya binti Sulaiman hingga kini. Kini,(2014) SMKASAS mempunyai bilangan pelajar seramai 553 orang dan kesemuanya merupakan penghuni asrama, 59 orang guru termasuk Tuan Pengetua termasuk  dua orang kaunselor sepenuh masa dan  19 orang Anggota Kumpulan Pelaksana. Pada bulan Mei 2011 SMKASAS telah bertukar nama kepada SMK Agama Saratok (SMKASAR).
Bahasa Arab merupakan salah satu mata pelajaran teras bagi semua pelajar di SMKASAR. Oleh yang demikian, adalah menjadi suatu kemestian bagi setiap pelajar di SMKASAR untuk menguasai serta meminati bahasa ini yang mana ia juga boleh diibaratkan bahasa ketiga mereka.

Bahasa Arab mula dipelajari oleh para pelajar sejak mereka di Tingkatan 1 lagi, maka seharusnya para pelajar tidak mempunyai masalah untuk menguasainya. Namun apa yang menjadi persoalan ialah mengapa para pelajar tidak dapat menguasai bahasa ini walaupun ia mula diajar semenjak mereka menjejakkan kaki di SMK ASAR lagi.
        
Permasalahan ini perlu dirungkai dengan kadar yang segera agar SMKASAR dapat mencapai kecemerlangan yang lebih gemilang pada masa depan terutama dalam mata pelajaran Bahasa Arab. Oleh itu, ahli PERSABA ASAR cuba mengkaji dan mencari penyelesaian bagi mengatasi masalah ini.  

PERSABA ASAR telah mereka bentuk sejenis permainan yang berpotensi untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Arab di kalangan para pelajar di sekolah ini amnya dan pelajar-pelajar Tingkatan 1 khususnya. Permainan ini diberi nama ‘MAKRUFA(MARI KENALI HURUF ARAB)’. Diharap dengan adanya permainan ini para pelajar lebih teruja untuk mempelajari mata pelajaran Bahasa Arab, seterusnya mampu meningkatkan prestasi markah dalam ujian akademik mereka.










 





No comments:

Post a Comment